Tuesday, April 12, 2016

Mitos



Mitos membawa kita mengenali makhluk pemangsa dan pemburu. Mengikut sejarah awalnya, guliran baka kedua keturunan ini berasal dari Jambi, Indonesia dan mereka ditakdirkan untuk bermusuh sejak azali. Walaupun mereka pernah memetrai perjanjian damai, pengakhirnya peperangan yang membinasakan tetap terjadi. 

Haikal, anak kepada Dato' Adib pernah hilang diculik dan dibawa ke Pulau Harimau di Jambi. Hanya selepas 5 tahun barulah Haikal kembali ke pangkuan keluarganya dengan pelbagai keanehan. Selama 5 tahun itu Haikal telah mengenali dan hidup bersama Dambaki, spesies manusia harimau. Mula-mula hairan juga, kenapa Haikal tak jadi mangsa si makhluk pemangsa tu. Rupanya Haikal mula menyedari 'naluri' luar biasa yang dimilikinya semasa di Pulau Harimau. 

Pertemuan dengan Umairah membuatkan Haikal ingin mendekati Umairah. Namun, mereka dihalang untuk merapati antara satu sama lain oleh keluarga masing-masing di sebabkan permusuhan keturunan mereka sejak zaman berzaman. Mungkinkah bakal terjadi peperangan sekali lagi?


Sinopsis

Permusuhan antara dua jurai keturunan sejak zaman berzaman dari Jambi hingga ke Malaysia tidak pernah berakhir. Dua guliran baka yang wujud di Nusantara sentiasa berdendam. Misteri pembunuhan perompak di Kuala Lumpur rupanya menggamit perhatian.

Kehilangan Haikal penuh misteri terselit rahsia yang tidak terungkai. Kepulangan yang dinanti memberi seribu hikmah. Juga cinta Haikal kepada Umairah akhirnya terhalang. Haji Daud dan Dato' Adib terpaksa bersemuka dengan Asmiah dan Zamberi.

Inspektor Zaheran berusaha untuk merungkai kes tetapi tidak mendapat sokongan penuh ASP Kamarul. Begitu juga dengan Azizi yang tidak mahu membantu. 

Apakah dendam yang tersemai akan terlerai? Adakah peperangan akan berlaku lagi? Siapakah pihak yang berdendam? Mengapa cinta antara Haikal dan Umairah terhalang? Dapatkah Inspektor Zaheran menjalankan tugasnya?

Sunan Nanggroe Sang Kembara

Sunan Nanggroe Sang Kembara
Satu lagi karya terbaru dari novelis thriller no. 1 Malaysia. Siapa lagi kalau bukan Ramlee Awang Murshid. Memang terbaik sekali. Baru je selesai baca Sunan...Nanggroe Sang Kembara. Seriously, memang minat dari awal koleksi Laksamana Sunan ni. Mula dengan membaca Bagaikan Puteri & Cinta Sang Ratu. Masa tu dua-dua buku ni adik saya bawak balik ke rumah & letak atas meja di dalam bilik. Kebetulan ada masa terluang terus ambik baca sebab tak pernah lagi rasa air tangan dari RAM. Disebabkan jalan cerita yang sangat menarik & unik membuatkan saya seperti hidup di zaman kurun ke-15. Watak Laksamana Sunan ataupun nama sebenarnya Saifudin Bin Jalis benar-benar membuat saya tertanya. Apakah Pahlawan Acheh yang berasal dari Tanah Melayu kononnya tidak pernah disebut dalam sejarah ini betul-betul wujud atau cuma rekaan penulis semata-mata. Laksamana Sunan dikatakan hidup pada zaman Laksamana Hang Tuah dan kehebatan mereka berdua begitu setanding. Baik dari segi persilatan ataupun sifat peribadi mukmin sejati. Banyak persoalan yang timbul sama ada ianya realiti atau fantasi penulis sahaja.

Angkara fitnah yang dilemparkan kepada beliau, Laksamana Sunan ingin membawa diri ke Melaka kerana kecewa dihukum tanpa usul periksa oleh bapanya sendiri, iaitu Jalis selaku penghulu kampung tetapi malangnya tidak berhasil kerana telah ditangkap oleh lanun darat sewaktu dalam perjalanan lalu dijual kepada Juragan Semarang iaitu pemilik kapal dagangan. "Lebih baik tersalah ampun daripada tersilap hukum" Ayat yang diucapkan oleh beliau kepada bapanya yang mengandungi kekecewaan yang mendalam.


Takdir telah menemukan beliau dengan Wali Sufi yang terkenal alim & sangat handal dalam ilmu persilatan. Daripada Tanah Melayu, mereka bertemu di Acheh ketika kapal dagangan singgah di perlabuhan untuk urusan perdagangan. Laksamana Sunan telah diambil oleh Wali Sufi sebagai anak asuhannya selepas Juragan Semarang membuat keputusan untuk memerdekakan beliau dari menjadi budak suruhan di kapal miliknya. Wali Sufi yang menganggapnya seperti anak kandungnya sendiri mendidik & melatih beliau menjadi mukmin sejati sekaligus pendekar handalan yang sentiasa menentang kekufuran yang ada di muka bumi. Sehinggakan Laksamana Sunan sering diintai oleh musuh-musuh durjana yang begitu mendendami & mahu menghabisi nyawanya tetapi kerana ketakwaan & selalu bertawakkal kepada Allah SWT beliau selalu mendapat pertolongan dalam menentang musuh. Sifat itu yang menjadikan Laksamana Sunan begitu ampuh & sangat sukar untuk terkalahkan. Banyak ilmu & pengajaran yang dapat pembaca contohi daripada keperibadian Laksamana Sunan ini. RAM juga menyelitkan unsur pencintaan yang memang menjadi fitrah buat manusia. Manusia memang tidak lari dari rasa cinta. Kerana keperibadian terpuji yang dimiliki oleh beliau, terbitlah rasa cinta bagi sesiapa yang mengenalinya.

Thumbs up !
Selain itu, RAM memasukkan elemen misteri didalam cerita ini. Bagaimana Laksamana Sunan yang hidup pada kurun ke-15 boleh tercampak ke zaman teknologi serba canggih iaitu abad ke-21. Satu persoalan yang tak dapat dijawab oleh akal fikiran manusia. Namun tak mustahil ianya boleh berlaku disebabkan kejadian seperti itu pernah dialami oleh 7 pemuda dalam kisah Ashabul Kahfi. Sebab itu saya cakap jalan cerita yang ditunjukkan dalam novel-novel RAM sangat menarik & unik berbanding cerita-cerita yang ada. Hihihi... Ramai yang berharap ada produser filem berani memfilemkan cerita adaptasi dari novel tentang kisah Laksamana Sunan ni. Lagi bertambah menarik & saya tentulah tak sabar menunggu filem tu dikeluarkan!


Sinopsis 

DEK kerana fitnah dan dihukum bapa sendiri, Saifudin menjadi perantau di bumi Serambi Mekah - Aceh. Banyak ranjau yang terpaksa dilalui sebelum bermukim di situ. Saifudin diangkat menjadi anak asuhan kepada Wali Sufi. Memilih mendalami agama Islam berbanding seni persilatan. 

Di sinilah perawakan Saifudin terbentuk. Dari anak manja di Punggor berubah menjadi pemuda yang pendiam. Ajaran agama Islam banyak membentuk caranya bertingkah laku. Menjadi di antara kalangan pemuda yang taat berjemaah di musollah. Sentiasa mengiringi Wali Sufi ke mana-mana dalam menyelesaikan urusan. Juga menjadi pemberi minum di kalangan anak-anak murid guru persilatan terhebat itu. Hatta, sering menjadi mangsa buli Djailuh dan Sadik di gelanggang persilatan. 

Kemunculan Ratna Sang Ratu Sulaman yang menyusup ke bumi Aceh dengan satu tujuan - Wali Sufi untuk menghancurkan keampuhan Aceh daripada serangan Kerajaan Pulau Utara yang sering kecundang di dalam kancah peperangan. Namun Ratna gagal melakukannya. Justeru, anak asuhan Maharani itu menyasarkan Saifudin. Membunuh Saifudin dipercayai bakal membunuh semangat juang Wali Sufi. 

Rombongan kerajaan Pagar Ruyong tiba di Aceh. Engku Aminah, anak kerabat yang rupawan menjadi perhatian anak-anak muda negeri ini. Namun Engku Aminah memilih Saifudin kerana tertarik dengan akhlak terpuji pemuda itu. Bunga cinta mulai tumbuh subur. Engku Aminah mulai menyedari rasa kasihnya pada Saifudin biarpun dalam tempoh yang singkat. Namun Ratna muncul menjadi batu penghalangnya kerana ada sekelumit rasa cemburu membajai jiwanya. 

RAMLEE AWANG MURSHID menerapkan unsur cinta dalam karyanya kali ini. Cinta yang terkawal peradabannya. Cinta bersifat fitrah. Jarang sekali rasa cinta itu muncul bermula dari kebencian. Namun itulah yang berlaku. Cinta tiga segi antara Saifudin, Engku Aminah dan Ratna Sang Ratu Sulaman. Cinta yang wujud dari peperangan, kemarahan dan dendam. Penuh aksi mendebarkan. Digelumangi magis dan kesaktian. Pelayaran dan pengembaraan yang terasa menggugah rasa hati.

Magis




Sinopsis Novel : MAGIS

Fenomena Halo telah mengheret 5 manusia yang berlainan tempat & berbeza tahun ke sebuah dunia magis. Sebuah dunia di hujung waktu ketika tamadun serta peradaban manusia mulai terhakis. Mereka yang terpilih terjebak ke lokasi yang berbeza-beza.

Saifudin bertemu Syeikh Thauban - satu-satunya manusia penjaga masjid. Dipercayai masjid terakhir yang terselamat.

Tombirou yang kini berwajah manusia & tampan, jatuh cinta pada seorang perempuan Tur-Kus yang rupawan bernama Juvia.

Ryu-Watanabe diselamatkan orang-orang Memalik yang menghuni underground city di Derinkuyu.

Mikhail pula bergaul hidup dalam gerombolan dubuk yang pandai berkata-kata.

Manakala Carlos menjadi tawanan perang di Buyuk Bulsinatur. Dia dijagai perempuan pendamping bernama Cinnie.

Masa secara perlahan-lahan telah mempertemukan mereka. Namun di antara mereka ada yang berpihak kepada kejahatan yang diterajui seekor mahkluk gagah dipanggil Tuan Turak-pemimpin boneka di sebalik satu kuasa yang lebih kejam lagi dahsyat.

Apabila dunia semakin dihampiri Dukhan(asap tebal), maka peperangan tidak mampu dielakkan lagi. Mereka bertempur sampai mati!