Friday, July 13, 2012

Cinta Sufi





Suatu ketika dahulu, ketika menoktahkan cerita Hijab Sang Pencinta, saya mengandaikan itulah pelengkap Trilogi Bagai Puteri (Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta), seperti mana saya noktahkan Trilogi TOMBIRUO. Namun apabila ramai yang membaca pengakhir novel Hijab Sang Pencinta, telah melahirkan rasa tidak puas hati. Seperti mana ketidakpuasan hati mereka pada Semangat Hutan, ketika saya matikan watak Amiruddin.

Saya terima SMS dan email yang menzahirkan kekecewaan mereka pada dua faktor – pertama: Saifudin dan Haryani tidak bersatu dan kedua: kenapa matikan watak Saifudin?Malah saya turut menerima email dari Perth Australia yang menyatakan rasa terkilan sangat pada pelengkap trilogi tersebut. Sebagai manusia, saya mula berfikir semula. Encik Norden (Pengurus Alaf21 waktu itu) menasihatkan saya – cukuplah untuk trilogi itu. Maknanya cerita itu kalau disambung agak dragging. Sebagai penulis saya merasa bersalah kerana menjadikanending trilogi tersebut sebagai twist. Berikutan itu juga berulang kali saya menyatakan bahawa Saifudin atau Laksamana Sunan itu tidak mati cuma pengsan saja. Bila saya teliti pengakhir novel Hijab Sang Pencinta itu semula, memang benar Saifudin kelihatan seolah-olah ‘mati’.

Kemudian saya berusaha untuk meraih semangat untuk menjadikan Saifudin muncul semula dalam episod baru. Bagaimana pun tanpa kehadiran dua watak utama sebelum ini iaitu Dani dan Haryani. Maknanya trilogi ini berlanjutan lagi tetapi dalam new session. Pada tahun lalu, ketika mengikuti kursus ESQ di PWTC, saya meminta pada Encik Norden untuk membenarkan saya melanjutkan cerita tersebut. Encik Norden mengatakan – sememangnya ALLAH mahu kau sambung cerita itu. Ini disebabkan cerita itu sentiasa berlegar-legar dalam fikiran dan hati.

Akhirnya saya memulakan Cinta Sufi pada awal november tahun 2009. Hanya berehat selama seminggu sahaja selepas menyiapkan novel 9 Nyawa. Teguran dan kritikan dalam cakap-cakap menerusi SMS atau email mahu pun dalam blog, saya ambil iktibar. Saya diam dan berjenaka bukan bermakna saya tak endah. Saya ambil perhatian tetapi saya tak tunjuk cuma sesekali saja saya meluahkannya dalam blog kelab ram.

Maka fasa berjerih payah pun bermula. Pihak Alaf21 meminta saya menyiapkan untuk pesta buku 2010. Saya tak yakin dapat kejar dateline itu. Saya terus berdoa dan berdoa. Secara logik akal, semua itu tidak akan berlaku. Tetapi saya meminta kepada Yang Maha Tertinggi. Alhamdulilah...doa saya dikabulkan. Saya menghantarkan manuskrip Cinta Sufi dalam tiga peringkat. Peringkat pertama pada pertengahan bulan Januari. Peringkat kedua pada pertengahan bulan Februari dan pengakhirnya dapat ditamatkan pada 26 Februari lalu bersamaan hari Jumaat. Pada hari penghulu segala hari dan hari ulang tahun kelahiran Rasulullah saw. Segala puji bagi ALLAH.

Baiklah...Cinta Sufi sudah siap sepenuhnya dan dalam proses suntingan sekarang. Kalau tak ada aral...pesta buku ini adalah Cinta Sufi itu di pasaran. Sekarang tumpuan untuk screenplayTombiruo pula. Lepas itu Rayyan Fantasi akan mula ditulis. Dalam Cinta Sufi, ada bab di Hulu Melaka yang agak sukar iaitu adegan peperangan. Selajur saya gunakan teknik lensa kamera dengan melakukan scene by scene.

Ada watak-watak sejarah yang saya fiksyenkan seperti Hang Tuah dan Hang Lekiu. Ada watak-watak mitos turut disertakan seperti Puteri Gunung Ledang dan Luna – golongan perempuan di kalangan bangsa Polip. Ada seorang kawan mencadangkan saya kembangkan bangsa Polip, maka dalam Cinta Sufi ia dirungkaikan. Begitu juga dengan siapa sebenarnya Taghut – sejarah ringkas kemunculannya.

Baiklah...mari saya ringkaskan cerita Cinta Sufi:-

Catalina merupakan seorang balu bangsawan Portugis yang kematian suami, belayar ke Tanah Melayu atas saranan Maryam – satu jelmaan berjubah dan berhijab putih yang ditemui apabila Catalina pengsan sahaja. Maryam berjanji akan membongkar satu rahsia besar tetapi pertemuannya mestilah di Hulu Melaka dan Catalina kena mencari seorang lelaki bertanduk dua untuk mengiringi perjalanannya ke Hulu Melaka. Ketika sampai ke Melaka, Portugis sedang menggempur Melaka dan Melaka dapat ditawan. Masa inilah Catalina menemui Saifudin yang pengsan di pantai Punggor. Lalu Laksamana Sunan itu dijadikan hamba sahaya kepada Catalina. Perjalanan ke Hulu menghadapi bermacam rintangan termasuk huru-hara yang dicetuskan Pangeran Garitno (jelmaan Taghut) dan Puteri Kober Gandring yang hampir putus nyawa dikerjakan Saifudin dalam Hijab Sang Pencinta. Anak keponakan Taming Sari hulubalang terbilang Majapahit itu dibangkitkan semula dalam jelmaan pontianak.

Saifudin pula kehilangan kudrat kerana mengalami proses transformasi dari abad ke 21 yang telah memecahkan sel-sel dalaman. Luna pula muncul menagih kasih kepada Saifudin iaitu bangsa manusia pertama yang berjaya menambat hatinya. Begitu juga dengan Catalina yang lama-kelamaan menyenangi Saifudin kerana akhlak lelaki itu. Kesimpulannya – banyak nyawa terkorban dalam mengharungi perjalanan ke Hulu Melaka. Persoalannya – siapa Maryam bersama rahsia besarnya? Mengapa Saifudin digelar ‘lelaki bertanduk dua’? Apakah Taghut mampu dibunuh? Bagaimana dengan campur tangan Luna dalam peperangan antara sesama bangsa manusia? Apakah Saifudin berupaya bangkit menjadi Laksamana Sunan semula? Mengapa Taghut terlalu mendendami Saifudin? Siapakah yang mampu menjinakkan Puteri Gunung Ledang yang terkenal sakti itu? Dan...banyak lagilah.

Untuk anda semua...selamat bertemu dengan Laksamana Sunan sekali lagi dan ia tidak akan berakhir begitu sahaja. Seperti kata Saifudin – tiadalah ia diputuskan di dalam hati.

1 Mac 2010
03.43 petang/ Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Ramlee Awang Murshid
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
kiriman email RAM diterima dan dipaparkan eksklusif untuk warga KelabRAM

Artikel ini diperolehi secara eksklusif dari Ramlee Awang Murshid khas untuk RAMFC. Sebarang penerbitan semula artikel ini di mana-mana bentuk media mesti memberi kredit kepada Ramlee Awang Murshid & www.kelabram.com. Penerbitan tanpa kredit kepada pihak kami adalah dianggap sebagai plagiat.

No comments:

Post a Comment