Friday, July 13, 2012

Rayyan Fantasi dari tinta Ramlee Awang Murshid



Alhamdulilah…setelah hampir tujuh bulan berlalu, dapat juga dengan izin ALLAH saya noktahkan cerita Rayyan Fantasi. Pada 4 Oktober 2010 – saya hantar manuskrip pada pihak ketua editor Alaf 21, Puan Saadiah. Tugasan Editor akan dilakukan oleh Mazuin – rakan saya semasa di UKM dahulu. Manakala illutrasi kulit buku  oleh saudara Baiem. Segala perbincangan mengenai konsep telah pun diadakan pada hari yang sama. Insya-ALLAH...Rayyan Fantasi akan menjengah pasaran pada November ini.

Baiklah...terlebih dahulu mohon ampun zahir dan batin, maaf yang tersurat mahu pun yang tersirat untuk semua pembaca dan rakan-rakan.
Berbalik pada Rayyan Fantasi. Cerita kali ini agak berbeza berbanding karya sebelumnya, namun masih dalam cakupan lingkaran berkonsepkan thriller. Tagline – apa yang terfikir...itu ada! Terserah bagaimana minda seseorang itu untuk mencapai sesuatu berbentuk realiti mahu pun fantasi. Berhati-hatilah dengan fantasi kerana faktor ini sangat bijak memanipulasikan otak.

Secara ringkas...Rayyan Fantasi mengisahkan tentang seorang anak muda yang bernama Aiddin, berasal dari daerah pergunungan Kundasang, yang mana rahsia susur galurnya dengan sengaja dirahsiakan oleh ayahnya Ibrahim. Ketika melanjutkan pelajaran di UKM, dia telah bertemu dengan Feena dan jatuh cinta. Kemudian...mereka pun bertunang. Dalam usia seawal 20-an itu, Aiddin tidak menyedari sesuatu telah merubah kehidupannya. Dia kerap pengsan. Setelah mendapat rawatan, doktor mengesahkan Aiddin menghidap barah otak tahap empat dan diramal hanya mampu hidup dalam tempoh tiga bulan sahaja.

Pada bulan terakhir kehidupannya, Aiddin mengimpikan untuk mendaki gunung Kinabalu. Impian itu terlaksana tetapi dia hilang semasa menuruni gunung itu. Kehilangannya sangat menggemparkan. Usaha mencari dan menyelamat dilakukan dengan giat namun Aiddin tidak juga ditemui. Hari demi hari, bulan bertukar tahun...dan lima tahun berlalu, Aiddin muncul semula dari kawasan hutan pergunungan. Sejak itu...berlaku beberapa siri pembunuhan ngeri. Aiddin pula kerap mendengar bisikan perempuan. Okey...tunggulah kemunculan Rayyan Fantasi menjengah di pasaran pada bulan November ini. Salam. Sampai jumpa lagi dalam karya SUTERA BIDADARI.

Berharap nukilan ini adalah berita gembira untuk anda semua, sama-sama kita nantikan Rayyan Fantasi menjelma di pasaran tidak lama lagi.

Nota:

Artikel khusus untuk RAMFC. Sebarang petikan dari artikel ini dalam mana-mana medium  samada di blog, facebook, forum mestilah meletakkan semula url rasmi RAMFC iaituwww.kelabram.com. Harap maklum.

No comments:

Post a Comment