Friday, July 13, 2012

Rahsia Perindu di Besut, bersama hujan lebat



Novel Rahsia Perindu berjaya saya habiskan semasa berada di Besut. Novel ini sudah saya beli pada tahun 2005, terbitan pertama, namun baru dibaca. Ok, ceritanya memang mengelirukan, ada kisah dalam cerita dan ada cerita di sebalik kisah. Bersimpang siur dengan watak-watak yang saling bertukar, dunia realiti dan fantasi saling bertemu dan terpisah. Benar kata penulis, hati-hati dengan realiti, kemungkinan ia sekadar fantasi.

Seperti biasa saudara Ramlee cerdik memainkan dan memberi warna kepada watak dan persekitaran. Ada ketika bila saya rasa itu realiti, tetapi ternyata fantasi atau persekitaran dalam dunia halusinasi, dan sebaliknya. Watak utama Maria dan Amylia yang memiliki dua dunia, menjadi tunjang kisah di sebalik cerita. Penulis amat berjaya mencorakkan ‘dunia’ dalam Rahsia Perindu.


Sinopsis begini:


Amylia bersetuju membela seorang penjenayah yang kemungkinan besar akan menghadapi hukuman mati mandatori kerana membunuh. Setelah meneliti mental anak guamannya, Amylia mendapati sesuatu yang tidak munasabah berlaku. Dia memohon perintah mahkamah untuk mendapatkan khidmat doktor psikiatri bagi melakukan proses psikoanalisis.

Dr. Azlan mendapati anak guaman Amylia bernama Leopard mengalami gangguan mental. Pada masa yang sama, usahanya membela Leopard mendapat rintangan. Amylia yang diburu ketakutan mengalami perubahan emosi. Namun begitu, dia tidak mudah mengalah walaupun nyawanya sentiasa diburu maut oleh pembunuh yang sentiasa mengintai pergerakannya.
Adakah kisah di atas realiti atau sekadar cerita di dunia halusinasi? Ternyata bahawa ia adalah dunia di dalam minda bawah sedar watak utama. Jadi apakah cerita sebenarnya? Saudara harus baca untuk mengetahui kisah di sebalik cerita.

Ramlee bermain psikologi, bermain dengan dunia di bawah minda sedar, juga menyelongkar sutera cinta dan kasih sayang. Rahsia Perindu menyingkap rindu, menelusuri dendam dan hasad dengki serta menyentuh isu ketuhanan.



http://www.kelabram.com/2009/01/rahsia-perindu-di-besut-bersama-hujan.html

No comments:

Post a Comment