Friday, July 13, 2012

Bahagian ketiga Ungu Karmila, sukar untuk saya berhenti membaca



Pada hemat saya, novel Ungu Karmila terbahagi kepada empat bahagian besar. Bahagian pertama merupakan sejarah awal Ungu Karmila, dari halaman 4 hingga ke 81. Bermula dari halaman 82 sehingga ke 290 penulis Ramlee Awang Murshid memberikan tumpuan kepada plot-plot yang berhubung kait dengan watak-watak utama. Seterusnya debaran sebenar bermula tatkala berkumpulnya watak-watak utama di pejabat Arafat, iaitu bahagian ketiga, dari halaman 291 sehingga ke 456. Bahagian terakhir lebih kepada plot selepas terbakarnya Vila Sunyi di Puncak Rimba, Cameron Highland, dari muka surat 457 hingga ke epilog.

Bahagian pertama agak hambar. Namun ia penting sebagai pengenalan kepada sejarah Vila Sunyi dan bunga Ungu Karmila. Pendekatan berlainan dari novel-novel terdahulu Ramlee menampakkan kejayaan. Penulis berjaya menggarap plot dan menjalin peristiwa di Vila Sunyi dengan amat baik. Bait-bait pendek dan mendebarkan. Bahagian ketiga ini menyukarkan saya untuk memberhentikan pembacaan saya.

Satu kekuatan Ramlee dalam novel ini beliau berjaya ‘menipu’ pembaca. Salah satu ialah plot yang dinukilkan selepas kejadian ngeri di mana semua pemburu hantu mati di Vila Sunyi. Saya berjaya ‘ditipu’ oleh Ramlee dengan watak Dr Ismadi bercakap-cakap dengan Ema, walhal pada waktu itu Ema sudah mati! Saya sedar watak Ema mati apabila kembali merujuk kejadian “tengkok Ema terlanggar salah satu tiang tangga semasa jatuh tergolek dari tingkat atas.”

Dalam pada itu, ungkapan “Ia makan untuk hidup tetapi ia tak pernah minum” menjadi satu misteri tersendiri. Saya mencari-cari apa maksudnya sehingga hampir ke penghujung cerita. Di situ baru jumpa.

Gabungan unsur mistik dan kajian sains moden di bahagian terakhir novel ini berjaya dijalin dengan menarik oleh Ramlee. Di sini Ramlee cuba untuk mengaitkan kejadian hilang akal, gila dan halusinasi beberapa watak dengan kajian terhadap bunga Ungu Karmila oleh Dr Ismadi. Penulis berjaya mencipta plot bahawa kejadian aneh dan unsur mistik itu boleh dijelaskan dengan penemuan sains.

Beberapa ralat, saya kira, adalah seperti berikut:
1) Halaman 203: “BADO senang mendengar impian Kamarul yang serba kekurangan itu.” Sepatutnya bukan BADO tetapi DINO.
2) Di kulit belakang, ada dinyatakan Vila Sepi, tetapi di halaman dalam pula semuanya merujuk kepada Vila Sunyi. Silap taip mungkin?

Walaupun begitu, ralat di atas tidak pula mencacatkan ‘debaran’ yang Remlee paparkan!


Sinopsis : UNGU KARMILA
ATAS nama cinta... mahligai impian itu dibina. Vila Sepi menjadi mahar kasih Arif terhadap isterinya, Karmila. Namun, tragedi dahsyat memusnahkan kegembiraan yang dikecapi.

Beberapa tahun berlalu... vila yang ditinggalkan dikatakan berhantu. Jikon, seorang pemuda Orang Asli bagai digamit memasuki vila itu. Akhirnya, dia menjadi korban pertama.

Setelah itu, mistik di vila itu tiba-tiba sepi. Masyarakat Orang Asli percaya ‘sesuatu’ yang berada di situ sedang ‘tidur’. Tiada siapa berani mengusik. Jika ia ‘terbangun’, maka pembunuhan pasti terjadi lagi.

Ema, seorang wanita masyarakat Orang Asli yang berpendidikan, secara diam-diam berusaha meneroka vila yang menjadi lambang cinta Arif dan Karmila itu. Secara tidak sengaja, dia telah ‘membangunkan sesuatu’ di dalam vila berkenaan.

Arafat, abang Arif telah menugaskan beberapa orang yang dipercayai untuk membongkar misteri pembunuhan itu. Namun, satu kuasa jahat telah memburu mereka sehingga mengancam nyawa. Tragedi silam berulang kembali!

RAMLEE AWANG MURSHID, sekali lagi meneroka alam mistik di sebalik saspens UNGU KARMILA. Mereka yang `jahat’ sahaja dapat mengalami rahsia di sebalik kisah berdarah di Vila Sepi... hingga tidak sanggup lagi untuk berbuat dosa! 

2 comments: